Wednesday, 3 October 2012

Azza Elite Percaya Ada Hikmah Di Sebalik Kegugurannya

  Azza Elite Percaya Ada Hikmah Di Sebalik Kegugurannya

Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 2 OKT 2012: Pada awal waktu keguguran, penyanyi dan pelakon Azza Elite dikhabarkan cuba untuk menjauhkan diri daripada bertemu masyarakat kerana terlalu kecewa dengan apa yang telah berlaku pada kehamilannya yang pertama itu.
Namun setelah lebih tiga minggu, Azza atau Nor Azzarima Zawari dilihat begitu positif sekali . Malah, melalui perbualan di telefon dengan wartawan murai.com.my, dia lebih banyak berbicara mengenai hikmah di sebalik semua ketentuan takdir Ilahi ini.
"Alhamdulillah, fizikal, mental dan jiwa saya semakin pulih. Semua ini atas sokongan daripada orang disekeliling saya. Memang betul mulanya dulu rasa macam berat nak berdepan dengan masyarakat dan bercerita mengenai hal ini.
"Tetapi ketika itu saya mungkin lupa bahawa peminat dan masyarakat sedikit sebanyak sentiasa mendoakan kesejahteraan diri saya. Jadi perkara-perkara ini sering saya jadikan iktibar. Ini adalah pertama kali saya hamil dan mengalami keguguran. Kerana tiada pengalaman, saya seperti hilang arah.
"Mujurlah keluarga, rakan artis dan suami terutamanya memberikan sokongan yang begitu kuat. Rakan artis seperti Ayu Raudhah dan anggota Elite yang lain juga tidak kurang berkongsi pengalaman mereka dan membuatkan saya faham dan mengerti bahawa bukan saya seorang yang ditimpa dengan dugaan sebegini,"ujarnya dengan nada yang tenang.
Hubungannya bersama suami, keluarga dan rakan tambah erat setelah masing-masing memainkan peranan yang penting dalam usaha membantu Azza mendapatkan kembali keyakinan diri bagi menghadapi dugaan ini. Bagi Azza, dia sudah dapat menerima sepenuhnya dugaan dan ketentuan Ilahi ini.
"Sebelum ini saya sering tertanya-tanya kenapa saya perlu menerima dugaan seberat ini, apatah lagi setelah lama menanti untuk menimang cahayamata sendiri. Padahal ada individu di luar sana yang sewenang-wenangnya membuang anak yang dilahirkan mereka.
"Walaupun impaknya memang mendalam, tetapi satu perkara yang membuatkan saya terus kuat untuk menghadapi perkara ini adalah kerana Allah itu Maha Mengetahui dia juga Maha Mengasihani. Diharapkan doa saya bersama keluarga dan para peminat di luar sana dimakbulkanNya.
"Jika sudah bersedia dan kembali sihat sepenuhnya, saya dan suami sudah merancang untuk meneruskan impian kami untuk memiliki zuriat sendiri, InsyaAllah,"ucapnya yang begitu positif serta mengharapkan sokongan dan doa daripada peminat yang selama ini menjadi penguatnya.

Sumber - Murai

No comments:

Post a Comment