SHAH ALAM - Legenda bola sepak negara, Tan Sri Ghani
Minhat meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan
pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari
ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.34 pagi tadi.
Allahyarham berusia 77 tahun dan meninggalkan balu, Puan Sri Tuan
Aishah Tuan Ibrahim dan empat anak.
Pengurus Perhubungan Media Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Muhamad Aiman Aminul memberitahu Sinar Harian Online,
jenazah akan dibawa ke kediamannya di 62A Pantai Indah 9/2 Putra Height
dan dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 selepas solat
Jumaat.
"Sebenarnya selepas menjalani pintasan jantung pada Ahad lepas, keadaan Allahyarham kritikal dan berada dalam keadaan koma.
"Pagi ini keadaan Allahyarham semakin tenat dan menurut laporan doktor,
saluran jantung Allahyarham mengalami kerosakan dan mungkin kerana
faktor usianya yang sudah lanjut, beliau tidak mampu bertahan,” katanya.
Tambah Aiman sepanjang hayatnya, Allahyarmah begitu aktif mengikuti
setiap aktiviti bersama yayasan itu dan kali terakhir mengikuti program
Yakeb adalah ketika melakukan kunjungan terhadap bekas kapten skuad
Olimpik Munich 1972, Datuk M Chandran di Hospital Kuala Lumpur pada 18
September lalu bersama beberapa bekas pemain Reduan Abdullah, Datuk
Khaidir Buyong, Zulkifli Norbit dan Kamarulzaman Yussoff.
“Ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar buat negara dan amat
dirasai. Allahyarham terlalu rapat dan begitu aktif bersama Yakeb,”
katanya.
Ghani Minhat seorang penyerang hebat yang mewakili negara pada 1956-1963 dan mewakili Selangor pada 1955-1968. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor menganugerahkan gelaran Raja
Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri
itu. Beliau dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada 1959 dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Sumber - Sinar Harian