Wednesday, 28 November 2012

Kali Pertama Lauk Jadi Basi Setelah 20 Tahun Memasak

Sebahagian daripada kumpulan pertama tetamu kenduri di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Ahad menceduk lauk sebelum menyedari sajian yang dihidangkan sudah basi. Pix: Kosmo!Sebahagian daripada kumpulan pertama tetamu kenduri di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Ahad menceduk lauk sebelum menyedari sajian yang dihidangkan sudah basi. Pix: Kosmo!GEORGE TOWN: Pemilik sebuah syarikat perancang perkahwinan di sini memohon maaf sambil sedia membayar ganti rugi berikutan peristiwa memalukan pada majlis kenduri sepasang pengantin di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Teluk Bahang dekat sini Ahad lalu yang berakhir dengan lauk-pauk menjadi basi manakala nasi yang ditanak pula mentah.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 25, berkata, kejadian itu memang mengejutkan kerana ia kejadian pertama selepas 20 tahun keluarganya menerima tempahan memasak sajian kenduri di negeri ini.
Menurutnya, lauk dalca, daging masak hitam serta ayam masak merah itu mula dimasak pada pukul 6 pagi di rumah keluarganya di Batu Feringghi.

Kata Nor, semua bahan mentah dibeli sehari sebelum kenduri bagi memastikan kesegaran manakala susu cair pula digunakan untuk menggantikan santan agar masakan seperti ayam dan daging lebih tahan lama.

"Saya tidak sangka semua ini boleh berlaku. Lauk-pauk yang siap dimasak juga terlebih dulu dicuba sendiri oleh tukang masak sebelum dihantar ke tempat kenduri yang hanya 10 minit dari rumah.

"Kami minta maaf sebab benda sudah nak terjadi dan sekiranya mereka mahu tuntut ganti rugi kami akan bayar semula semua lauk yang basi," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kemeriahan majlis persandingan Nazurah Romai, 21 dan suaminya, Nazli Che Amat, 22, bertukar kecoh apabila lauk-pauk yang disajikan basi.

Akibatnya, lebih 1,000 tetamu jemputan terpaksa pulang dengan perut kosong.

Nor berkata, pihaknya masih waras dan tidak sesekali mahu menabur pasir dalam periuk sendiri.

Dalam pertemuan itu, Nor memberitahu, ketika menghantar sajian itu ke rumah pengantin, suaminya mendakwa ada terlihat sekumpulan lalat berterbangan di atas periuk lauk sebaik tiba di dewan berkenaan tetapi kemudian hilang sekelip mata.

"Selepas itu ubi kentang yang masak empuk dalam dalca pada paginya bertukar keras seperti tidak masak.

"Memang kejadian ini pelik tetapi kami reda dan anggap ia dugaan," tambahnya.

Ibu pengantin perempuan, Normiza Osman, 41, ketika dihubungi berkata, pihaknya telah melantik peguam.

"Kejadian itu telah memalukan kami sekeluarga, tak tahu bagaimana hendak menjelaskannya kepada tetamu yang kebanyakkanya penduduk kawasan ini," katanya.



Oleh Noor Hasliza Nusi / Kosmo!
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Post a Comment