Menjadi idaman setiap wanita untuk tampil cantik dan langsing selepas
melahirkan. Bagi tujuan ini, amalan tradisional sepanjang tempoh
berpantang boleh membantu.
Malah jika betul-betul disiplin, luka dalaman dapat pulih segera dan si ibu akan kembali bertenaga menjalani kehidupan.
Terdapat banyak rutin yang perlu dijalani wanita bila berpantang
mengikut adat Melayu. Antaranya, mandi daun yang dilakukan pada awal
pagi. Daun yang digunakan bagi menyediakan air mandi terdiri daripada
daun inai, mengkudu, lengkuas, pandan dan serai wangi. Kesemua ramuan
ini direbus menggunakan periuk tanah.
Bagaimanapun, terdapat langkah tertentu sebelum seluruh tubuh
dibasahkan dengan air rebusan daun. Biasanya dengan bantuan mak bidan
yang menjaga dalam pantang, si ibu baru disuruh membaca selawat sebelum
meraup wajah dengan air mandi pertama sebanyak tiga kali. Selepas itu,
barulah baki air dijirus daripada kepala hingga ke kaki.
“Sekali rebus, air daun boleh digunakan berulang kali sampailah warna
kuning pada air makin menipis. Biasanya ia boleh digunakan sampai tujuh
kali mandi.
“Tapi tidak kira sama ada mandi daun atau air biasa, wanita baru
melahirkan disarankan mandi air suam sahaja selama 44 hari,” ujar
Sharifah Noor Syed Osman, 60, yang menjadikan mandi air daun kayu satu
kewajipan dalam amalan berpantang keluarganya.
Peranakan diuli
Selepas mandi barulah wanita dalam pantang akan diurut, dibantu
bertungku, dilumurkan bedak boros supaya badan tak dimasuki angin dan
dipakaikan bengkung untuk mengembalikan susuk tubuh asal.
“Bahagian perut perlu diurut dengan cermat dan hati-hati memandangkan
luka dalam, belum pulih sepenuhnya. Peranakan tidak boleh dipaksa
kembali ke tempatnya kerana ia mempunyai tempoh tertentu untuk pulih
sendiri.
“Sampai masanya, peranakan yang sebesar penumbuk akan mengecut ke saiz
buah pinang sahaja dan kembali ke kedudukan asal dalam rahim,” ujar
Sharifah Noor.
Istilah melakukan urutan pada perut untuk membetulkan kedudukan rahim
dipanggil sengkak. Ia hanya boleh dilakukan oleh bidan berpengalaman.
“Ketika sengkak dilakukan, orang yang diurut mesti tarik nafas. Bagi
yang mengurut pula, kedudukan tangan akan dibuka seperti rama-rama.
Kemudian bahagian peranakan ‘diuli’ hingga rahim dirasakan berada pada
kedudukan asal.
“Sengkak dibuat kerana wanita akan berasa tidak sedap badan sekiranya
rahim tidak dibetulkan agar berada di kedudukan sepatutnya,” ujar
Sharifah Noor.
Selepas diurut, tungku digunakan untuk menuam bahagian perut, badan dan
kaki. Amalan ini dapat melegakan bahagian lesu dan membetulkan semula
urat yang kendur.
Sharifah Noor berkata, “Bertungku tidak boleh dari bahagian tengah
perut. Ia perlu dilakukan dari sebelah tepi perut lalu dibawa ke
bahagian tengah. Tungku yang suam juga dapat memberikan kelegaan bila
diletakkan di bawah kaki, badan dan celah kelangkang.”
Elak ibu kunyit
Sebenarnya tidak semua rempah sesuai diambil wanita sebaik sahaja
selepas melahirkan. Antara yang perlu dielak adalah ibu kunyit yang
dikatakan mampu mengecutkan rahim terlalu cepat sedangkan darah nifas
belum keluar sepenuhnya.
“Menjadi warisan keluarga saya untuk mengambil kuning telur ayam
kampung yang dicampurkan dengan halia dan madu selepas tiga hari balik
dari hospital.
“Tujuannya untuk membuang angin di samping menguatkan tubuh,” kongsi
Sharifah Rogayah Syed Fadzil, 43, yang mula makan jamu sejak berusia
belasan tahun pula.
Selain itu dia akan merebus daun sirih, asam keping dan garam jantan untuk digunakan sebagai basuhan setiap kali selepas membuang air kecil ketika dalam pantang. Secara saintifik, ramuan alami yang digunakan ini sememangnya mampu mematikan kuman dan mempercepatkan kesembuhan luka dalaman.
Memandangkan tidak semua makanan boleh dijamah oleh wanita dalam pantang, Sharifah Rogayah memperturunkan satu resipi istimewa keluarganya yang baik untuk kesihatan.
Selain itu dia akan merebus daun sirih, asam keping dan garam jantan untuk digunakan sebagai basuhan setiap kali selepas membuang air kecil ketika dalam pantang. Secara saintifik, ramuan alami yang digunakan ini sememangnya mampu mematikan kuman dan mempercepatkan kesembuhan luka dalaman.
Memandangkan tidak semua makanan boleh dijamah oleh wanita dalam pantang, Sharifah Rogayah memperturunkan satu resipi istimewa keluarganya yang baik untuk kesihatan.
“Cara menghasilkannya juga cukup mudah iaitu tanak nasi bersama daun
lemuni, halia, halba, bawang kecil dan bawang putih sebelum dijamah
panas-panas. Kalau mahu, campurkan sedikit santan cair agar lebih
sedap,” katanya.
Tidak sekadar mengamalkan adat berpantang untuk diri sendiri dan
keluarga, Sharifah Rogayah menawarkan kesemua rawatan serupa untuk
pelanggan yang datang ke Spa Rug Gaya miliknya di Taman Setiawangsa,
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment