Wednesday, 17 October 2012

RM3 juta cerita karut, Apex kekal hingga 2015

khairul fahmi che mat
 
Apex dianggap cerita karut bertujuan mengganggu emosi penjaga gol kebangsaan itu membantu Kelantan menghadapi ATM pada final Piala Malaysia.
KOTA BHARU – “Surat pun kita tak terima, jadi macam cerita karut ini boleh timbul.” Itu komen ringkas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim yang nyata berang dengan berita sensasi mengenai tawaran RM3 juta kepada penjaga gol utama The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.

Azman yang juga Pengurus Pasukan Kelantan menyifatkan khabar angin tersebut sengaja dicetuskan pihak-pihak tertentu bertujuan mengganggu emosi pemainnya menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia, Sabtu ini.


“Mereka buat pelbagai kenyataan tetapi satu apa pun (surat) kita tak terima setakat ini. Mungkin ini satu tawaran yang bertujuan untuk mensensasikan perkara yang tidak masuk akal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


“Mungkin ada motif tertentu, saya sendiri pun tak tahu. Saya hanya dapat tahu mengenai perkara ini menerusi sebuah akhbar semalam. Jadi saya harap pihak di luar sana tolong hentikan sebar berita yang tak berasas ini.


Tiga hari lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi atau dikenali Apex mendapat tawaran RM3 juta oleh pasukan lain termasuk RM800,000 bagi menebus kontraknya yang masih berbaki tiga tahun bersama Kelantan.


Laporan tersebut bagaimanapun dianggap tidak munasabah memandangkan Apex secara rasmi memperbaharui kontraknya baru-baru ini untuk beraksi dengan Kelantan sehingga tahun 2015.


Malah ketika ditanya kesahihan berita itu, Azman secara sinis berkata, jika benar tawaran RM3 juta menjadi kenyataan, itu merupakan perkembangan menarik dalam sejarah perpindahan pemain bola sepak liga tempatan di negara ini.


“Kalau betul ada tawaran, buktikanlah secara bertulis bukan melalui berita sensasi. Barulah kita boleh tengok dan pertimbangkannya. Semua perkara biarlah dikendalikan secara profesional dan telus.


“Ini tidak, dalam akhbar beritahu tawaran berjuta-juta sedangkan perkara ini tak berlaku pun. Kafa tak pernah terima apa-apa tawaran dan Apex masih mempunyai kontrak tiga tahun dengan kita,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Azman turut mengakui beberapa pemain Kelantan turut diintai oleh pasukan lain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.


“Memang kita ada terima surat daripada pasukan terbabit dan kita sudah menjawab permohonan mereka. Saya rasa tak perlu buat apa-apa kenyataan lagi kerana pemain masih ada kontrak dan tak berminat untuk berunding dengan pasukan lain,” katanya.

Sumber - Sinar 

No comments:

Post a Comment