Tarikh: 10 Oktober 2012
Sekali lagi, watak Tun Siti Hasmah bagi teater arahan Erma Fatima itu
bertukar tangan. Jika sebelum ini Erra Fazira dan Datin Sofea Jane,
khabar terbaru yang diterima memberitahu watak tersebut bakal dijayakan
oleh aktres hebat, Eja.
Ketika dihubungi MH Online, Eja mengesahkan perkara tersebut;
"Memang betul saya dipilih untuk membawakan watak Tun Siti Hasmah. Dan
saya sudah menjalani latihan sejak awal oktober lagi. Saya menerima
tawaran yang diberikan oleh Umie Aida bukan atas faktor kawan
semata-mata, sebaliknya lebih kepada kerjaya saya sendiri.
"Di awal latihan, saya letakkan diri saya seperti kanak-kanak tadika
yang baru mula belajar. Memandangkan teater ini adalah yang pertama buat
saya, jadi banyak yang perlu dipelajari.
"Di usia 40 tahun ini, berlakon teater adalah yang cukup besar buat
diri dan kerjaya saya. Sebelum ini ada juga tawaran yang diberikan,
namun saya menolak. Kini, sudah tiba masanya untuk saya cabar diri
sendiri. Untuk itu, saya sudah bersedia menerima segala kritikan dan
teguran semua pihak."
Meskipun menjadi pilihan ketiga untuk membawakan watak tersebut, Eja
tetap optimis dan yakin itu semua adalah ketentuan daripada-Nya.
"Saya tidak fikir pun di mana salahnya menjadi pilihan ketiga dan bukan
yang pertama. Semuanya berbalik kepada ketentuan dan rezeki daripada
Allah. Selebihnya, saya perlu berusaha dan tawakal dalam memberikan yang
terbaik.
"Tentu sahaja, mana-mana pelakon tidak mahu dibandingkan dengan
sesiapa. Dan saya percaya setiap pelakon itu ada kelebihan dan kekuatan
tersendiri. Jadi, doakan yang terbaik buat saya dan seluruh tenaga kerja
teater ini nanti," tambah Eja yang mengakui gementar untuk beraksi di
khalayak.
No comments:
Post a Comment