GEORGETOWN - Seorang pemandu lori yang ditahan kerana disyaki terbabit
kes narkotik didapati menggantung diri ketika berada dalam lokap Balai
Polis Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS), petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, lelaki berusia 47 tahun
itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam keadaan tergantung dengan lilitan
seluar lokap yang diikat pada jeriji.
Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat, berkata, suspek
yang didapati positif HIV dan mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk
pecah rumah, samun dan dadah, ditahan 15 Oktober lalu.
"Lelaki ditahan kerana memiliki satu paket dan dua straw yang
dipercayai berisi heroin seberat 7.62 gram di Sungai Acheh," katanya
pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan dan Ikrar Bulanan di
Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini,hari ini.
Menurutnya, selepas menahannya, lelaki itu ditahan dalam lokap
berkenaan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah
Berbahaya 1952.
Beliau berkata suspek, seorang duda dan mempunyai seorang anak,
berkelakuan normal dengan anggota yang bertugas di situ, sebelum anggota
itu turun mengambil makanan untuknya.
“Dalam masa lima minit, anggota itu naik semula ke tingkat atas yang
menempatkan lokap dan mendapati lelaki itu dalam keadaan tergantung
dengan lilitan cebisan seluar lokap yang diikat pada jeriji.
“Satu laporan berhubung penemuan mayat lelaki itu sudah dibuat dan
mayatnya dihantar ke Hospital SeberangJaya untuk bedah siasat pagi ini,”
katanya.
Shafien berkata, polis terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti puncanya membunuh diri.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis
berjaya menghubungi ahli keluarga suspek untuk memaklumkan inisiden
itu," katanya.
Sumber - Sinar
No comments:
Post a Comment